NABI MUHAMMAD SAW
Pada waktu umat manusia dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang
bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal
membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia. Bapa bayi tersebut
bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan
iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti
Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke
ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud
sebelumnya.
Selepas itu
Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak suruhan Abu Lahab
sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad. Adat menyusukan bayi sudah
menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga
wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya
tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu,
Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan
memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing
ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah
tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda kembali
kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.
Kisah Dua
Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad SAW
Pada usia dua tahun, baginda didatangi
oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka
bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya
tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya
menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada
Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh
ditemui.
Muhammad
tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu
baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada
Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul
Mutallib di Makkah.
Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah
membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka
ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa
baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia
dikuburkan.
Sesudah
sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula
ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang
memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika
mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu
dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke
Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad
sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang
dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
"Bukankah Dia mendapatimu sebagai
seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
bingung lalu Dia memberikan petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul
Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika
baginda berusia lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul
Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan
hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan
orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang
berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam kesusahan.
Muhammad
diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas
bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu
berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling halus
dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad
seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi
pekerti Muhammad yang mulia.
Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang
sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian
yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut
menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri
orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda
tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidaak banyak
membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh
anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari
keluarganya. Baginda mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan
mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh
penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda
mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu
berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh
sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi.
Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang
diberikan iaitu "Al-Amin".
Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa
saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang
peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh
ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan
keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya
untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita
bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima
lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran
baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.
Turunnya Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah
menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu,
baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan
nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan
menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada
Muhammad.
"Bacalah
dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa
gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila
semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang
telah berlaku.
Kemudian
baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya
untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah
berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian
baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan
ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan
keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu memerintahkan
baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula
menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara
terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari
orang-orang yang musyrik." (Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk Quraisy
menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan
para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak
pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat
risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum
Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas
jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di
tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku
tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru
atau aku binasa kerananya"
Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan
dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk
beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang
sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut
seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang
berat.
Wafatnya
Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu
terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh
mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat
pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu
membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia
juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung
kesedihan.
Pada tahun
itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga
meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana
kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.
Hijrah Ke Madinah
Tekanan orang-orang kafir terhadap
perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas kepergian isteri dan bapa saudara
baginda. Maka Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah
berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan meriahnya
oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin manakala
penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda diterima baik
oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di bawah
pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada
kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam
yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah
negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran dan perundangan yang
berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik sebagai ketua agama, tentera dan
negara. Semua rakyat mendapat hak yang saksama. Piagam Madinah yang merupakan
sebuah kanun atau perjanjian bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi
beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan
Islam dan merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan.
Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar undang-undang
Madinah.
Islam adalah
agama yang mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting
bagi melindungi agama, masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali
ekspedisi tentera untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan
yang ditempuhi baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H),
Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua
peperangan diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian
Hudaibiyah telah dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin
Makkah. Maka dengan itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad
s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama
dengan 10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh
Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat
kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama
dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda
yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, ketahuilah
bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu
keturunan Nabi Adam a.s. Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah
s.w.t. ialah orang yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua
perkara dan kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh
dengan dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah
Rasulullah."
Wafatnya
Nabi Muhammad SAW
Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun
11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan
pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi
seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan. Rasulullah
adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment