NABI ISA AS
Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah
Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan
sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan
empat panggilan iaitu Isa,
Isa putera Mariam, putera
Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah.
Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika
malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan
kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'"
(3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian
yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan
tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang
suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat
kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini,
ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah.
Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat
membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada
kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang
rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak
lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa
malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan.
Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan
akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu
berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera
Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang
didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki
sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang
jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara
kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat
(tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang
telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam
ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya
satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya
(23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah
seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka
berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia
dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul.
Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul
lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan
bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh
Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami
melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah
berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa
putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus
(Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk
membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan
apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan
Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa,
dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami
tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'"
(2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat
dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai
Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak
membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi
sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan
Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil,
baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah
menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak
mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami
memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa
yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan
Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah
berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang
berperang di jalan Allah (9:111).
Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang
berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan
apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu
dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa
yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah
kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang kedatangan
seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang
mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa)
rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita
gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda
mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang
menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya.
Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut
yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya,
dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi
penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia,
'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan
saksilah kamu akan kemusliman kami.'" (3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia
Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah,
untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu
penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada
pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku
bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa
yang setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya
hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari
langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia
berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada
kami sebuah meja hidangan dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika
kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk
memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui
bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah antara para
saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada
Allah,
"Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada
kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu
perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada
Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada
pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja
hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga
menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima,
al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan
meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat
berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera
Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku
mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam
buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat,
dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya,
lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu
mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata,
'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu
mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia
daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza
para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai
Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang
iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit.
Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah
wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak
diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri
dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di
bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan
mematikan kamu, dan
menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang
tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka
selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah
penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani
Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang
sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja.
Firman-Nya:
"ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih,
Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga
menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka.
Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya;
mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka
tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa
yang tidak disahkan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di
bumi buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz:
kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam
Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesona
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah
berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan
sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu
tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka
reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk
mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang
luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah
terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang tidak percaya
(kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'"
(5:17), dan
"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah
putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan
orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka!
Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk
menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan
makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang
rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar;
mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan
ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling."
(5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan
tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk
mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut
seperti yang terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada
orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan
berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan
kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan
serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di
akhirat. Baginda akan ditanya
sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan
selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu
mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain
daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku
untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya,
Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak
mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui
yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang
Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan
Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan
mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke
atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas
sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap
al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku
mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan."
(25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran
al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada
ajaran al-Qur'an.
No comments:
Post a Comment